Tuesday, June 9, 2009

i'm back

maaf kepada semua rakan-rakan, pengikut dan pelawat suara agung kerana saya sudah lama tidak mengeluarkan artikel kerana pelbagai masalah yang timbul,khususnya sifat malas yang membelenggu diri. insyaallah selepas ini saya akan bergiat aktif semula dalam penulisan artikel yang mungkin akan memberi manfaat kepada anda semua. selamat membaca!

Sunday, January 18, 2009

Al Kisah Kuala Terengganu

Sebenarnya artikel ini saya jangka akan tulis dan seterusnya disiarkan di blog saya selepas saya menyiapkan 3 siri artikel mengenai Palestin (satu daripadanya telah disiarkan - Jerusalem : Suatu Sorotan Sejarah). Namun atas desakan yang mencekam daripada beberapa sahabat saya serta berpendapat isu ini akan basi jika saya tidak menulis mengenainya,lalu saya luangkan sedikit masa di kala hujung minggu ini untuk tatapan anda semua.

Semua pasal POLITIK. Saya tidak pasti mengapa saya begitu ekstrim dan gila terhadap politik. Tiada dalam salur galur keluarga saya yang menjadi seorang ahli politik yang lantang bersuara, tajam berfikir dan segak berpakaian. Saya sedar yang saya mula jatuh cinta terhadap lautan politik sejak saya berada di bangku sekolah menengah. Aura mantan PM ke-4, Dato’ Seri Dr Mahathir Mohammad (kini Tun) cukup signifikan sehingga mampu menggentarkan segala macam nadi saya. Ketika berada di tingkatan 3, tugasan kerja kursus yang diberikan kepada pelajar adalah bersangkutan dengan pemimpin pilihan. Dr Mahathir yang saya pilih. Biodata, jawatan, pengalaman, penghargaan, sumbangan sehingga ke kontroversi pentas politik beliau saya kaji – dari A sampai Z. Masuk ke tingkatan 4 (ketika itu di Kolej Melayu Kuala Kangsar) darah panas politik itu semakin menggelegak dek kerana sejarah koleq yang bagaikan seperti acuan bernama ‘pemimpin’. Antara hasil acuan berkenaan ialah – Dato’ Onn Jaafar, Tun Abdul Razak, Almarhum Sultan Salehuddin, Anwar Ibrahim, Almarhum Tuanku Jaafar, Shahrir Samad, Khalil Yaakub, Nazri Abdul Aziz, Allahyarham Hani Mohsin, Effendy Norwawi, Hishamuddin Tun Hussien, Suhaimi Sulaiman – semuanya berjaya dalam bidang mereka.

Tapi bukan ini yang saya mahu cerita…..

Sejak Disember lalu, media elektronik dan media masa bertubi-tubi menyiarkan aneka kisah mengenai bahang suasana pilihan raya kecil kawasan Kuala Terengganu. Adakalanya berita yang disiarkan benar-benar menggeletek saya. Ia bagaikan satu dialog antara si Bulan Purnama dan si Dacing (kadangkala si Roket, si Dwi-Bulan Sabit dan si Bintang mencelah).

…..

Bulan Purnama : Woi Dacing, janganlah gelapkan mata rakyat dengan duit.

Dacing : Kalau betul aku main politik wang, tunjukkan lah bukti. Setakat guna gimik politik murahan dengan menuduh orang lain tak tentu arah,rakyat pun dapat menilai.

Bulan Purnama : Wahai rakyat jelata,jangan mudah terpedaya dek kerana duit yang sejemput. Tapi siapa undi kami masuk syurga.

Dacing : Wah,kalau gitu siapa yang undi Roket masa pilihan raya hari tu macam mana?

Roket : Oh Bulan Purnama, kalau kau laksana hudud,aku keluar pakatan.

Dwi-Bulan Sabit : Kau tak faham dasar!

Bintang : Lihatlah rakyat,pakatan tak berpakat!

…..

Dacing : Kami yakin kekalkan kerusi Parlimen KT.

Bulan Purnama : Calon kau ‘orang’ Pak Lah.

Dacing : Kami yang sepakat pilih dia. Tak timbul persoalan remeh tu.

Bulan Purnama : Aku terkejut dan tak bersedia nak bertanding.

Dacing : Wahai ahli sayap aku, kau semua wajib turun dan tolong berkempen.

Bulan Purnama : Aku akan guna jentera pilihan raya kawasan DUN yang kecil. Aku harap mereka membantu.

Dacing : Kami akan menang!

…..

Dan segalanya terjawab pada hari Sabtu lepas yang mana pengundi di Kuala Terengganu telah membuang undi mereka bagi memilih pemimpin yang akan menerajui kawasan dan membawa suara mereka ke Dewan Yang Mulia.

PAS menang.

Majoriti yang cukup selesa hingga mampu menyentapkan BN. Saya pun agak terkejut kerana majoriti meningkat lebih tiga kali ganda. Dan berdasarkan pemerhatian saya, berikut merupakan analisis saya daripada pandangan seorang mahasiswa. Bagi saya, kekalahan BN pada kali ini bukan disebabkan oleh faktor tipikal seperti “petanda rakyat tolak kepimpinan Pak Lah” dan “BN tidak peka kepada suara rakyat”. Tetapi ia lebih kepada taktik daripada suatu perspektif yang lain. Calon BN perlu menjadi seperti wakil rakyat PAS khususnya di Kelantan. Bukan pro-PAS atau anti-BN,tetapi kita perlu menjadi realistik.

Apa yang saya maksudkan adalah bagaimana karekter dan perilaku mereka. Kebanyakan daripada mereka mempunyai hubungan yang begitu arkab dengan penduduk setempat. Mengapa hubungan mereka boleh jadi sedemikian rupa? Jawapannya mudah – mereka tinggal di kawasan berkenaan. Lalu mereka boleh sertai bermacam aktiviti penduduk setempat – dari majlis kenduri kahwin, majlis aqiqah, potong jambul sehinggalah ke pengebumian si jenazah penduduk.

Bukan seperti kebanyakan wakil rakyat BN yang rakyat lihat terlalu eksklusif dan sukar untuk didekati. Persoalan kedua timbul. Mengapa boleh jadi begitu? Jawapannya juga mudah – mereka tidak menetap di kawasan bersama rakyat. Mungkin mereka mempunyai banglo di kawasan berkenaan,tetapi berapa banyak masa mereka habiskan masa dengan penduduk? Kebanyakan ahli-ahli yang berhormat ni terlalu taksub nak tinggal di bandar. Jadi ADUN Rengit, duduk di Johor Bahru. Jadi ADUN Pitas, duduk di Kota Kinabalu. Jadi ahli parlimen Kuala Kangsar tinggal di Kuala Lumpur. Jadi ahli parlimen Miri tinggal di Kuching. Mungkin mereka memberi alasan ada persidangan DUN dan parlimen. Tapi mengapa bila tiada persidangan pun, batang hidung pun tak nampak. Bila nak pilihan raya, barulah berbondong-bondong YB masuk kawasan. HIPOKRIT.

Media pun lagi satu pasal. Terlalu sensasikan berita remeh. Berita dan laporan yang disiarkan kadangkala menjijikkan dan menjengkelkan. Terlalu pro-Kerajaan dan anti-Pembangkang. Mana keadilan dalam media? Mungkin bila satu dua berita rakyat masih boleh terima, tetapi apabila dah jadi santapan harian, rakyat jadi jelek. Daripada benci pembangkang jadi simpati dek kerana berita dan laporan murahan media. Pada firasat saya, ini juga mungkin menjadi penyebab mengapa BN kalah teruk pada PRU ke-12 akibat kegagalan wakil rakyat BN mengekalkan kerusi DUN ataupun parlimen mereka selain daripada petanda rakyat yang menyampah dengan cara tadbir urus Pak Lah menerajui Malaysia. Mungkin artikel ni agak berbau seperti pro-pembangkang, tetapi hakikatnya tidak. Saya perlu jadi adil. Kalau suka terima, kalau benci tolak.

Tuntasnya, mereka perlu muhasabah diri. Cari satu resolusi. Semoga BN kembali menyinar.

Wahai pemimpin sejati, renungkanlah……..

Friday, January 16, 2009

PALESTIN : Kota Suci yang di'Rogol'

"Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka pada kamu ( wahai Muhammad ) sehingga engkau menurut agama mereka ( yang telah terpesong itu ). Katakanlah ( kepada mereka ):"Sesungguhnya petunjuk Allah ( agama Islam ) adalah petunjuk yang benar". Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya ( wahyu yang memberi ) pengetahuan kepadamu ( tentang kebenaran ), maka tiadalah engkau akan peroleh daripada Allah ( sesuatupun ) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepadamu".( 2 : 120 )

Artikel pada kali ini merupakan rentetan dan kesinambungan daripada artikel saya yang lepas. Semuanya pasal PALESTIN. Dan artikel kali ini lebih menjurus kepada isu dengan lebih mendalam iaitu melihat kepada apakah asbab atau punca berlakunya pergolakan di kota suci itu. Di awal artikel ini saya mulakan dengan petikan surah al-Baqarah ayat 120 agar dapat memberi sedikit gambaran tentang sifat dan sikap, serta kemahuan meluap oleh pihak Yahudi laknatullah. Adalah diharapkan agar anda dapat menilai apakah sebenarnya yang berlaku serta merenung kembali bagaimana kedurjanaan Yahudi mampu memporakperandakan seantero dunia, bermula di Tebing Barat.Segala macam episod duka, sedih, tragedi, penindasan dan perjuangan rakyat Palestin bermula pada tahun 1917. Masalah tunas yang kini bercambah menjadi pokok yang cukup besar adalah lahir daripada Eropah. Pada ketika itu, kaum Yahudi ditindas, dicaci maki, dihina dina oleh bangsa Eropah ( mereka diperlakukan seperti orang kulit putih terhadap orang kulit hitam semasa wujudnya Dasar Apertied ). Dalam hal ini, saya kurang pasti mengapa kaum Yahudi ditindas sehebat itu. Mungkin ada bab sejarah antara kedua-dua bangsa ini yang saya belum selami. Mungkin suatu hari nanti saya akan ke lautan sejarah antara kedua-dua bangsa ini lalu menjumpai tinta ilmu yang saya cari.

Ibarat si anjing yang didera dan dikurung dalam tembok batu rumah tuannya, begitu juga kisahnya si Yahudi. Lantas, akibat penindasan yang tak tertanggung oleh mereka, mereka mengimpikan sekeping tanah untuk mereka diami dengan aman lalu membina sebuah negara sendiri. Perihal ini telah disuarakan oleh seorang bangsa Yahudi, Theodore Herzl yang mana beliau telah mencetuskan idea untuk menubuhkan negara Yahudi di Palestin. Sekali lagi satu helaian sejarah saya terlepas pandang - mengapa Palestin yang mereka mahukan. Bukan daerah lain. Oh, mungkin atas dasar kepercayaan mereka terhadap kesucian kota itu ( rujuk artikel saya - Jerusalem : Suatu Sorotan Sejarah ). Demi mencapai hasrat tersebut, beliau telah mengetuai sekumpulan puak Yahudi ke arah matlamat itu yang mana gerakan ini dipanggil sebagai Zionisma atau Zionism - maka tercatatlah istilah ini dalam kamus sejarah peradaban dunia moden.

Pada tahun 1917 sehinggalah tahun 1945 ( selepas runtuhnya Kerajaan Turki Uthmaniah ), Palestin diletakkan di bawah 'British Mandate' selepas ditakluk oleh British. Selepas Parlimen British meluluskan Deklarasi Balfour ( 1917 ), atas usaha pihak British - yang dinamakan Erezt Yizrael - Puak Yahudi memasuki Palestin secara beramai-ramai pada tahun tersebut. Rentetan daripada Perang Dunia Kedua ( 1945-1947 ) dan peristiwa Holocoust, Palestin dijadikan tempat untuk orang Yahudi yang menjadi mangsa. Hal ini telah menimbulkan masalah dan tentangan daripada penduduk asal - penduduk Palestin - walaupun pada ketika itu, pendatang Yahudi hanya memiliki tidak sampai 8% dari keseluruhan Palestin. Hal ini telah menyebabkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ( PBB ) membentuk UNSCOP untuk mencari jalan penyelesaian terhadap konflik antara penduduk asal Palestin dan dengan pendatang Yahudi.

Sekitar tahun 1948, PBB telah menerima cadangan UNSCOP berkaitan pembahagian wilayah dan seterusnya meluluskan Resolusi 181 yang menyatakan pengiktirafan bahawa 55% wilayah Palestin adalah untuk pendatang Yahudi. Umpama anak kecil mendapat gula-gula, begitulah keadaan kaum pendatang Yahudi. Hal ini sememangnya ditunggu-tunggu sejak berabad lamanya oleh mereka dan kemuncaknya pada 14 Mei 1948, penubuhan negara Israel telah diisytiharkan oleh David Ben Gurion, selaku Perdana Menteri Israel yang pertama. Pada tahun berikutnya, ketika perang Arab - Israel, bangsa Israel telah meluaskan kawasan jajahan haramnya kepada 77% daripada wilayah Palestin setelah kekalahan tentera Arab ketika itu. Perluasan secara haram itu bagaikan mendapat restu apabila ia disahkan oleh 'Rhodes Armistice'.

*artikel ini tidak dapat diteruskan atas masalah teknikal. maaf kepada semua pelawat blog ini. namun saya berharap agar dengan 3 siri artikel berkaitan jerusalem (disebut palestin) dapat memberikan kalian sedikit informasi untuk manfaat kita bersama.*

Thursday, January 15, 2009

JERUSALEM : Suatu Sorotan Sejarah

"kami berpergian sama seperti orang lain...namun kami tidak tahu arah mana untuk kami pulang..."

Nukilan lirik syair ini oleh penyair agung Palestin, Mahmoud Darwish. Hanya sebaris ayat daripada syair beliau mampu menggambarkan segala-galanya - rakaman 1001 rentetan peristiwa yang terlipat di Jerusalem - melalui suara hati sunyi beliau yang mencekam. Kini, hidup bagi bangsa Arab terutamanya di wilayah bergolak itu seperti hanya tinggal di ruang mati, terjal dan penuh kegetiran akibat daripada serangkaian tragedi hitam dan konflik berpanjangan tiada kesudahan yang hingga kini terus bergolak. Belum ada yang mampu memastikan pertumpahan darah, mayat bergelimpangan dan kapan putih yang membalut tubuh di kota yang menjadi rebutan tiga agama besar - Islam, Kristian dan Yahudi - itu akan berakhir.

Tuah Jerusalem

Apa yang pasti, tiada satu kota di dunia ini pun yang mampu menyamai eksistensi Jerusalem. Selain menyimpan kisah masa silam yang agung lagi gemilang, kota ini telah menjadi kawasan yang paling padat dengan peristiwa-peristiwa besar sepanjang sejarah peradaban dunia. Kota suci Islam ini menyimpan kisah tentang penaklukan, sengketa dan konflik agama serta kemanusiaan dengan kekelaman latar sejarah di sepanjang penyelusurannya. Bercerita mengenai perihal sejarah, tercatat sejak zaman Chalcolitic 4500-3200 SM wilayah ini telah dimukimi. Nama Jerusalem pula muncul pada era Hyksos (1750-1500 SM) dengan nama ketika itu adalah Urusalim. Pada 5 abad seterusnya, sekitar tahun 1000 SM, ketika penguasaan Raja Daud ( raja Yahudi pertama), penaklukan Jerusalem mula berlaku. Begitu jugalah perilaku sejarah kelam masa-masa mendatang, di mulai dengan meletusnya Perang Salib pada 25 November 1095 yang mana ia menjadi peristiwa paling kelam dalam sejarah Jerusalem ( perang selama 90 tahun itu dibawah pimpinan Komando Paus Urbanus II ).

Tuah Jerusalem yang paling agung bukan sebenarnya terletak kepada warisan sejarahnya yang panjang semata-mata, tetapi perlu melihat kepada erti spiritualnya yang dalam. Bagi Yahudi laknatullah, Jerusalem merupakan satu-satunya kota suci di dunia ini kerana menurut Kitab Tawarikh - "tempat kediaman nama-Ku..". Bagi penganut Kristian pula, Jerusalem adalah kota suci yang sangat penting kerana di kota inilah mereka percaya bahawa Jesus hidup, berkarya, wafat dan bangkit untuk menebus dosa umat manusia dan akhirnya naik ke syurga. Sementara bagi umat Muslim, Jerusalem merupakan kota di mana Nabi Muhammad S.A.W melalui perjalanan malamnya dari Masjidil Haram di Mekkah ke Jerusalem lalu naik ke Sidrat al Muntaha dalam peristiwa Israk Mikraj. Oleh yang demikian, tanah Jerusalem mempunyai latar belakang yang signifikan bagi ketiga-tiga agama samawi di atas.

Mengutip sedikit petikan daripada buku karangan Leah Sullivan yang bertajuk Jerusalem:The Three Religions of The Tample Mount ada mengatakan bahawa kaum Yahudi, Kristian dan Islam memandang Jerusalem sebagai "pintu ke Syurga" kerana di sinilah mereka yakini terjadi pertemuan antara Bumi dan Syurga. Selain daripada itu, di tanah Jerusalem terdapat bermacam doktrin-agama seperti Tembok Ratapan ( tempat menyesali perbuatan dosa yang dilakukan ) bagi kaum Yahudi , Gereja Makam Kristus dan Via Dolorosa bagi penganut Kristian ( jalan ketika Jesus memanggul salib menuju ke Bukit Golgota.

Toleransi

Persoalan yang timbul kini, ada ruang sejarah tentang toleransi yang telah dilupakan daripada seorang yang pernah menduduki Jerusalem pada masa silam. Sementara pada detik ini, Yahudi, Nasrani dan Islam lebih mengingati masa sejarah yang kelam dan hitam serta menutup sekelumit memori kolektif mereka mengenai suatu fasa atau babak sejarah yang indah di Jerusalem. Dalam pita sejarah, kita bisa mengingat kembali ketika zaman pemerintahan Khulafa ar Rasyidin ke-2, Saidina Umar RA yang menguasai Jerusalem. Awal-awal zaman Arab ini dikenali sebagai zaman yang penuh toleransi antara agama. Para penganut agama Yhudi, Kristian dan Islam dapat hidup berdampingan dan bersama-sama secara damai dan mampu melaksanakan ibadah masing-masing tanpa hambatan dan rintangan. Khusus buat penganut Yahudi, zaman pemerintahan Saidina Umar RA adalah masa yang paling damai kerana setelah 500 tahun terusir, mereka mampu kembali ke Jerusalem dan menjalankan ibadah mereka dengan tenang.

Pada tahun 637 M, setelah mengepung Jerusalem, maka lahirlah suatu persefahaman antara Patriark Elya al-Quds Sophronius dengan Khalifah Umar yang dikenali sebagai Perjanjian Umar. Pada masa ini ia disebut Dore Gold yang mana pada masa ini toleransi dikembangkan. Secara tuntasnya, seharusnya masa-masa inilah yang perlu dikembangkan oleh mereka yang bersengketa pada waktu ini, agar kehormatan dan kesucian kota Jerusalem dapat tertuai di muka bumi Allah SWT ini. Bukan seperti cara dan tindakan puak Israel laknatullah yang angkuh dengan menerapkan prinsip the winner takes all , dengan melahap rakus sehabisnya wilayah Tepi Gaza yang sememangnya menjadi hak hakiki warga Palestin bersesuaian dengan Resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ( PBB ).

Wednesday, January 14, 2009

"ahlan wa sahlan wa marhaban bikum.."

Ini merupakan coretan pertama saya sebagai seorang 'blogger'. Sebenarnya hasrat untuk membuat blog sendiri telah lama berkocak didalam hati, namun disebabkan oleh kekangan-kekangan sebagai seorang mahasiswa, hasrat tersebut terpaksa di'koma'kan untuk beberapa ketika. Walaupun pada awalnya saya agak keberatan untuk melahirkan sebuah blog dan sebolehnya hendak menjauhkan diri daripadanya kerana berpendapat saya belum mampu mengendalikannya, namun atas dasar dan semangat untuk berkongsi gugusan fikiran, cebisan pendapat dan ekspresi pandangan, saya rasa blog merupakan salah satu jalan yang terbaik untuk melakukannya. Saya akan menulis berdasarkan kaca mata seorang mahasiswa melalui pengamatan, pengalaman dan pengetahuan yang saya miliki, sebolehnya dalam segenap isu - politik, ekonomi, agama, bahasa, bangsa, negara, dunia dan sebagainya. Kepada semua pengunjung blog ini, adalah diharapkan anda semua dapat membaca dan menilai dengan fikiran yang terbuka. Kemungkinan ada antara tulisan saya yang tidak disenangi dan berlaku kesilapan fakta. As a human, i'm not perfect. I do mistakes here and there without realize it. But i will try my best in order to minimise those mistakes, insyaAllah. Adalah menjadi harapan saya agar anda dapat memberikan teguran, kritikan dan komen yang membina agar sama-sama kita dapat menjana suatu wacana pemikiran yang unggul dan terampil.
asraf khamis